CCTV Bukan Penyelesaian Total
Kes penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi dan ini membimbangkan semua ibu bapa. Saya yang mempunyai tujuh anak juga bimbang kalau satu hari peristiwa yang sama menimpa anak sendiri seperti nasib adik Nurin Jazlin, Nur Sharlinie, dan yang lain-lain. Apabila berlaku penculikan lagi, maka semua orang bagaikan dikejutkan dari tidur. Masing-masing mengeluarkan pendapat termasuklah MB Selangor, Dato’ Seri Khir Toyo. Beliau terus menegaskan bahawa CCTV akan dipasang di semua padang permainan kanak-kanak di Negeri Selangor.
Persoalannya sekarang adakah CCTV ini akan menyelesaikan masalah penculikan kanak-kanak ini? Si penculik juga bukannya bodoh, tidak dapat di padang pemainan dia tunggu di tempat lain pula. Malah kalau penculik itu datang dengan memakai topeng dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu maka CCTV tidak membawa apa-apa makna. Kini sudah ramai tauke-tauke CCTV yang sedang mengira-ngira keuntungan apabila tender untuk memasang CCTV ini diperolehi nanti. Sudah ada yang mimpi tidur berbantalkan duit. RM75 juta yang bakal diperuntukkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bukanlah satu jumlah yang kecil.
Oleh itu, CCTV bukanlah penyelesaiannya malah kos pemasangannya juga bukan murah. Memang CCTV akan banyak membantu dan satu keperluan, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang. Kesedaran ibu bapa serta masyarakat sekeliling perlu ditingkatkan.
Kenapa tidak kos untuk memasang CCTV itu disalurkan untuk tingkatkan jalankan satu kempen iaitu Kempen Keselamatan Rumahtangga. Hari ini ibu bapa kita ramai yang cuai, leka, bersifat tidak apa, dalam mendidik dan menjaga anak-anak mereka. Mereka tidak terfikir bahawa sesuatu yang buruk memang boleh berlaku terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka. Wujudkanlah program memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang keselamatan di dalam dan di luar rumah. Ini merangkumi semua aspek seperti:
- Suis-suis dan ‘powerpoint’ yang dibiarkan terdedah serta dipasang rendah hingga boleh dijangkau oleh anak-anak
- Seterika elektrik yang dibiarkan terpasang hingga membahayakan anak kecil
- Cerek air panas yang boleh dicapai oleh anak kecil
- Baldi yang dipenuhi air dibiarkan terdedah
- Anak dibiarkan mandi sendirian dalam bilik air
- Anak-anak dibiarkan main di luar rumah dan ada yang mbermain hingga ke tengah jalan
- Anak-anak bermain jauh dari pandangan ibu bapa atau penjaganya
- membiarkan adik kecil dijaga oleh abang atau kakak yang masih remaja tanpa pengawasan orang dewasa
- Anak-anak dibiarkan bermain dengan benda-benda tajam
- Anak-anakdiberikan keizinan untuk keluar ke pasar malam tanpa ditemani oleh orang dewasa
- Ibu bapa asyik membeli belah di pasar atau di pusat membeli belah hingga terlepas pandang anaknya
- Anak-anak dibiarkan bermain dengan bunga api atau mercun sewenang-wenangnya.
- Dan bermacam-macam lagi.
Semua perkara di atas boleh mengundang mala petaka. Sama ada berbentuk kemalangan, kehilangan nyawa atau diculik. Keselamatan rumah tangga yang begitu asas ini diambil mudah oleh ibu bapa hari ini. Mereka tidak mendidik dan membimbing anak-anak tentang kemahiran menjaga diri dan keselamatan. Ibu bapa perlu disedarkan bahawa Keselamatan Rumahtangga yang melibatkan anak-anak adalah tanggung jawab mereka bukannya tanggun jawab orang lain atau pun kerajaan.
Apabila kesedaran ibu bapa meningkat maka kes-kes yang tidak diingini yang menimpa anak-anak akan dapat dikurangkan atau dielakkan.









