CCTV Bukan Penyelesaian Total
Kes penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi dan ini membimbangkan semua ibu bapa. Saya yang mempunyai tujuh anak juga bimbang kalau satu hari peristiwa yang sama menimpa anak sendiri seperti nasib adik Nurin Jazlin, Nur Sharlinie, dan yang lain-lain. Apabila berlaku penculikan lagi, maka semua orang bagaikan dikejutkan dari tidur. Masing-masing mengeluarkan pendapat termasuklah MB Selangor, Dato’ Seri Khir Toyo. Beliau terus menegaskan bahawa CCTV akan dipasang di semua padang permainan kanak-kanak di Negeri Selangor.
Persoalannya sekarang adakah CCTV ini akan menyelesaikan masalah penculikan kanak-kanak ini? Si penculik juga bukannya bodoh, tidak dapat di padang pemainan dia tunggu di tempat lain pula. Malah kalau penculik itu datang dengan memakai topeng dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu maka CCTV tidak membawa apa-apa makna. Kini sudah ramai tauke-tauke CCTV yang sedang mengira-ngira keuntungan apabila tender untuk memasang CCTV ini diperolehi nanti. Sudah ada yang mimpi tidur berbantalkan duit. RM75 juta yang bakal diperuntukkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bukanlah satu jumlah yang kecil.
Oleh itu, CCTV bukanlah penyelesaiannya malah kos pemasangannya juga bukan murah. Memang CCTV akan banyak membantu dan satu keperluan, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang. Kesedaran ibu bapa serta masyarakat sekeliling perlu ditingkatkan.
Kenapa tidak kos untuk memasang CCTV itu disalurkan untuk tingkatkan jalankan satu kempen iaitu Kempen Keselamatan Rumahtangga. Hari ini ibu bapa kita ramai yang cuai, leka, bersifat tidak apa, dalam mendidik dan menjaga anak-anak mereka. Mereka tidak terfikir bahawa sesuatu yang buruk memang boleh berlaku terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka. Wujudkanlah program memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang keselamatan di dalam dan di luar rumah. Ini merangkumi semua aspek seperti:
- Suis-suis dan ‘powerpoint’ yang dibiarkan terdedah serta dipasang rendah hingga boleh dijangkau oleh anak-anak
- Seterika elektrik yang dibiarkan terpasang hingga membahayakan anak kecil
- Cerek air panas yang boleh dicapai oleh anak kecil
- Baldi yang dipenuhi air dibiarkan terdedah
- Anak dibiarkan mandi sendirian dalam bilik air
- Anak-anak dibiarkan main di luar rumah dan ada yang mbermain hingga ke tengah jalan
- Anak-anak bermain jauh dari pandangan ibu bapa atau penjaganya
- membiarkan adik kecil dijaga oleh abang atau kakak yang masih remaja tanpa pengawasan orang dewasa
- Anak-anak dibiarkan bermain dengan benda-benda tajam
- Anak-anakdiberikan keizinan untuk keluar ke pasar malam tanpa ditemani oleh orang dewasa
- Ibu bapa asyik membeli belah di pasar atau di pusat membeli belah hingga terlepas pandang anaknya
- Anak-anak dibiarkan bermain dengan bunga api atau mercun sewenang-wenangnya.
- Dan bermacam-macam lagi.
Semua perkara di atas boleh mengundang mala petaka. Sama ada berbentuk kemalangan, kehilangan nyawa atau diculik. Keselamatan rumah tangga yang begitu asas ini diambil mudah oleh ibu bapa hari ini. Mereka tidak mendidik dan membimbing anak-anak tentang kemahiran menjaga diri dan keselamatan. Ibu bapa perlu disedarkan bahawa Keselamatan Rumahtangga yang melibatkan anak-anak adalah tanggung jawab mereka bukannya tanggun jawab orang lain atau pun kerajaan.
Apabila kesedaran ibu bapa meningkat maka kes-kes yang tidak diingini yang menimpa anak-anak akan dapat dikurangkan atau dielakkan.
Idea & Tulisan Oleh :Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad
Pengarah Urusan MAP Training & Consultancy Sdn Bhd
drasmadi@maptraining.com.my
http://www.motivasialihanpelajar.com














[...] CCTV Bukan Penyelesaian Total [...]
15 Jan 2008 at 12:27 am
Saya sangat setuju dengan pendapat ini. Adakah kawasan yang dianggap berisiko yg ingin diletakkan CCTV sepertimana rancangan kerajaan itu dianggap tidak berisiko oleh penjenayah? Bagi saya apa yang Dr. katakn memang betul, penjenayah bukanlah sebodoh itu sehingga tertangkap dengan CCTV yg dah diketahui kewujudannya. Semoga pembaziran tidak berlaku sekali lagi…
17 Jan 2008 at 8:27 pm
Salam dr,
Saya amat bersetuju dengan pendapat doktor.
Nanti timbul pula kes kecurian CCTV macam kes kecurian kabel telefon:)
17 Jan 2008 at 10:52 pm
Saya sangat bersetuju dgn pendapat Dr. Memang patut peruntukan 75juta tu disalurkan kepada kempen menyedarkan ibu-bapa, penjaga dan masyarakat sendiri tentang keselamatan kanak-kanak.
Semasa kecil dulu, ibu-bapa saya sentiasa mengingatkan kami tentang betapa ramainya penjenayah di kawasan pasar-pasar, dan kami kalau pergi pun mesti bersama orang yg lebih dewasa, sama ada jiran atau saudara.
Masyarakat sekarang memandang engkau-engkau dan aku-aku, tanpa peduli kalau terpandang kanak-kanak bermain tanpa penjaga. Yang ini perlu disedarkan, kita patut tanya siapa budak tu dan mana ibu/bibik nya.
Keluarga pula, jangan la dibiarkan anak-anak sendirian tanpa pengawasan. Kiranya perlu, titipkan dgn jiran yang rapat. Sekarang ni ada jiran saya yang meninggalkan anaknya berumur 9 thn di rumah sendirian sementara menunggu kakak dan abg nya pulang sekolah. Sepatutnya hantar/titipkan pada jiran2 yg ada dirumah, apa salahnya kalau habiskan duit sedikit demi keselamatan anak2.
18 Mar 2008 at 10:43 am
APA yang saya cuba ketengahkan di sini hanyalah merupakan pandangan peribadi saya terhadap tugas polis dan fungsi kepolisan di negara ini yang tak dapat tidak sedikit sebanyak terdedah kepada pertikaian awam. Kandungan tulisan ini janganlah disensasikan sehingga disalah tanggap menghina pihak polis atau mempertikaikan jasa dan peranan yang telah mereka mainkan untuk menjaga ketenteraman awam.
Ada dua perkara yang selalu disebut oleh pihak polis mutakhir ini ketika peranan mereka mula diperkatakan (mungkin juga dipertikaikan) kurang berkesan dalam mengesan dan mengenal pasti pesalah jenayah untuk dihadap ke muka pengadilan.
Alasan itu jika sekali dua disebut mungkin dapat diterima oleh orang awam, tetapi apabila kerap digunakan ia dikhuatiri akan menimbulkan kecurigaan di kalangan orang ramai lalu boleh sahaja dilencong tafsir sebagai cara polis untuk membela diri atau mugkin juga melarikan diri.
Pertama kecenderungan pihak polis mengembalikan semula setiap kesalahan jenayah yang berlaku kepada masyarakat seolah-olah masyarakat yang bersalah dengan menyatakan rakyat tidak mahu memberi kerjasama atau tampil menjadi saksi.
Kedua, CCTV yang dikatakan masih banyak yang tidak dipasang dan kalau dipasang pun gagal berfungsi sepenuhnya yang seolah-olah menggambarkan ada orang lain atau elemen lain yang bersalah bukan penjenayah itu sendiri.
Sebagai individu yang selalu mahu berfikir saya tidak menganggap dua perkara yang selalu diketengahkan oleh polis ini sebagai perkara main-main. Jika perkara itu dikemukakan oleh orang ramai bagi saya itu membawa implikasi yang berbeza. Tetapi jika pihak polis sendiri menggunakan dua alasan itu ia boleh sahaja dianggap sebagai cara untuk melepaskan diri jika penjenayah gagal ditangkap.
Kenyataan itu boleh juga dimengertikan sebagai cara polis memohon simpati rakyat supaya tidak terus menyalahkan mereka jika mereka gagal menjalankan fungsi mereka. Ini seolah-olah menyuruh rakyat berkata salahkanlah individu/pertubuhan/syarikat yang tidak menggunakan CCTV atau menggunakan CCTV yang gagal berfungsi. Atau salahkanlah orang ramai yang tidak mahu memberikan kerjasama kepada pihak polis.
Tetapi ada satu pertanyaan yang selalu bermain-main di fikiran ramai orang iaitu pertama, adakah tanpa bantuan CCTV polis langsung tak boleh berbuat apa-apa? dan kedua, adakah tanpa bantuan orang ramai polis tak boleh mengesan penjenayah sama sekali.
Saya khuatir jika CCTV dan kerjasama orang ramai menjadi alasan yang berterusan lambat laun akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap keberkesanan pihak polis dalam menjalankan tanggungjawabnya menjaga keselamatan orang awam. Sepatutnya polis mempunyai skill kepolisan yang tinggi dan tersendiri serta kecekapan yang ditambah dari semasa ke semasa dalam mengesan penjenayah sampai mereka tertangkap.
Pihak polis mesti menggunakan cara-cara lain dan bukannya terlalu bergantung kepada dua aspek yang disebutkan tadi. Saya tidak mahu mengajar pihak polis dalam hal yang mereka lebih arif tentangnya, tetapi saya suka menyarankan kepada mereka agar kembali kepada profesionalisme kepolisan sebenar mereka yang tentunya tidak semata-mata bergantung kepada alat tetapi ilmu, kemahiran dan kecekapan mereka sebagai anggota polis.
Saya yakin polis akan mampu melakukannya kerana semua pengetahuan, skill dan kecekapan itu hanya ada pihak polis bukannya pada orang lain. Maka bagi saya, saya hanya percaya kepada pihak polis dan dengan segala kecekapan yang ada padanya untuk menangkap penjenayah-penjenayah tersebut bukannya kepada benda-benda dan instrumen sekunder itu. Hakcipta Abd Bashid Harun
18 Apr 2008 at 9:12 pm
[...] CCTV yang dikatakan masih banyak yang tidak dipasang dan kalau dipasang pun gagal berfungsi sepenuhnya [...]
19 Apr 2008 at 4:30 pm