Archive for April, 2008

Pembaca undi pengarang popular

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Apr 30 2008 | Laman Bersekutu

Pembaca undi pengarang popular


POPULAR Book Co (M) Sdn Bhd (Popular) bersama-sama akhbar Berita Harian memberi peluang kepada pembaca untuk memilih pengarang pujaan mereka melalui Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian-Popular 2008.

Eksekutif Perdagangan Jabatan Bahasa Inggeris Popular, Azrina Azmi berkata, anugerah yang julung kali diadakan bertujuan mengiktiraf pengarang yang berkarya dalam bahasa Melayu sebagai tanda menghargai sumbangan mereka kerana menyediakan bahan bacaan untuk pembaca.

“Harapan kami sebagai penganjur, anugerah ini akan memberi lebih semangat untuk penulis kreatif dan bukan fiksyen menghasilkan karya bermutu di samping meningkatkan daya produktiviti pada masa depan,” katanya.

Pembaca yang ingin membuat pilihan pengarang mereka, perlu mengemukakan borang penyertaan daripada keratan akhbar Berita Harian dengan menandakan tiga buku paling digemari dan dilengkapi nama, nombor kad pengenalan serta telefon selain alamat.

Borang berkenaan perlu dikirim ke alamat Anugerah Pilihan Pembaca, Berita Harian-Popular 2008, Popular Book Co (M) Sdn Bhd, Lot 801, Level 8, Asmah Tower, Jalan Cerdas, Taman Connought,

56100 Kuala Lumpur, sebelum 17 Mei ini.

Azrina berkata, pertandingan ini dibuka kepada semua pembaca Berita Harian, kecuali kakitangan dan keluarga terdekat pekerja Berita Harian, Popular Book (M) serta CD-Rama & Harris, penyertaan tidak terhad, tetapi hanya layak menerima satu hadiah sekiranya dipilih sebagai pemenang.

“Borang penyertaan yang difotostat, tidak akan diterima. Borang tidak lengkap atau melanggar peraturan akan terbatal secara automatik dan keputusan juri muktamad. Pemenang akan dihubungi melalui telefon dan diumumkan dalam Berita Harian pada 27 Mei ini,” katanya.

Dua puluh pembaca yang dapat meneka dengan tepat akan dipilih sebagai pemenang Kategori Fiksyen, bakal menerima baucer bernilai RM 50 berserta Kad Keahlian Popular untuk tempoh tiga tahun

Dua puluh pembaca yang dapat meneka dengan tepat akan dipilih sebagai pemenang Kategori Bukan Fiksyen, bakal menerima baucer bernilai RM50 berserta Kad Keahlian Popular untuk tempoh tiga tahun.

Azrina berkata, buku paling laris di pasaran sepanjang 2007 disenaraikan untuk pilihan pembaca dan

yang menerima undian terbanyak akan dimartabatkan sebagai pemenang Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian-Popular 2008.

“ Penulis yang memenangi anugerah ini bagi Kategori Fiksyen dan Bukan Fiksyen Akan menerima hadiah wang tunai RM 1,000 dan trofi, kedua serta ketiga akan menerima wang tunai RM300 pada majlis penyampaian hadiah di KL Convention Centre, 27 Mei ini, jam 4 petang.

Sepuluh novel yang dipilih untuk Kategori Kreatif ialah Bunga-bunga Kemboja oleh Aina Emir, Biar Rindu Berlalu (Sharifah Abu Salem), Ku Seru Kasihmu (Izzul Izzati), Kasih Seharum Lavender (Eita Ashyta), Atas Nama Cinta (Bikash Nur Idris), Bayangan Rindu (Anis Ayuni), Murni Kasih (Norhayati Berahim), Senafas Rindu (Damya Hanna), Cinta… Tiada Akhirnya (Fauziahn Ashari) dan Buatmu Kekasih (Aisya Sofea).

Sepuluh buku Kategori Bukan Cereka ialah Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains oleh Dr Danial Zainal Abidin, Rahsia Melabur dalam Unit Amanah (Suthara Segar), Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah (Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah & Ahmad Fadzli Yusof), Dato’ Dr Haron Din Menjawab Persoalan Fikrah Harian (Bersama Ishak Din & Abu Hassan Din), Motivasi Alihan Pelajar (Tengku Asmadi), Ada Bagus Bagusss (Dr HM Tuah Iskandar), Jangan Main-main (Dr HM Tuah Iskandar), 13 Mei Sebelum Dan Selepas (Tunku Abdul Rahman), Rahsia Bisnes Orang Cina - ‘The Bamboo Network’ (Ann Wan Seng) dan Rahsia Minda Jutawan (Amar Mahmood)
Dapatkan borang penyertaan daripada keratan akhbar Berita Harian

Jangan lupa undi buku Motivasi Alihan Pelajar tulisan saya

Kongsikan Dengan Semua : These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • BlogMemes
  • BlogMemes Cn
  • Digg
  • MisterWong
  • Technorati
  • YahooMyWeb

no comments for now

Petikan Berita Harian, Khamis, 10 April 2008

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Apr 11 2008 | Laman Bersekutu

Personaliti: Pendekatan agama sumber kejayaan

Oleh Hasliza Hassan

Dr Tengku Asmadi utamakan semangat, azam untuk capai matlamat kehidupan

BAGAIMANA bersemangatnya beliau apabila menyampaikan ceramah motivasi baik di televisyen mahupun di radio, begitulah juga ketika ditemu bual pagi Selasa lalu di pejabat MAP Training & Consultancy Sdn Bhd.

Sifat bersungguh itu mungkin lahir daripada keperibadian pakar motivasi pelajar, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, 44, yang menggambarkan dirinya seorang bersemangat tinggi dan fokus dalam mencapai apa yang diingini.

Sesuai dengan peranan sebagai perunding motivasi, keazaman kuat membolehkan anak kelahiran Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu itu membimbing pelajar yang dianggap sebagai anaknya melakukan perubahan hidup.
Selepas 13 tahun berkecimpung dalam bidang motivasi, pengasas kursus Motivasi Alihan Pelajar itu sudah menyuntik semangat 50,000 pelajar di seluruh negara yang mengikuti kursus kendaliannya yang berjalan hampir setiap minggu.

“Saya seorang yang bersungguh-sungguh. Jika hendak sesuatu, saya buat sampai dapat. Jika tidak dapat, saya anggap itu bukan rezeki tetapi saya pastikan buat yang terbaik dan termampu sebelum mengaku kalah.

“Begitu juga apabila saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pensyarah dan memberi tumpuan kepada kursus motivasi pelajar. Ada mengatakan itu kerja gila tetapi saya buktikan saya benar-benar bersungguh ingin membantu dan membimbing pelajar,” katanya.

Menceritakan pencapaian diraih dalam bidang motivasi, Dr Tengku Asmadi yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bidang kejuruteraan perlombongan memberitahu semua bermula ketika melihat pelajar Melayu di universiti yang lesu, longlai dan tidak memiliki daya saing.

Keadaan itu membuatkan beliau bertanya, jika begini keadaan pelajar di universiti, tidak mustahil fenomena sama turut melanda pelajar sekolah rendah dan menengah. Maka, wujud keinsafan dalam dirinya untuk melakukan perubahan.

Lalu, berbekal semangat yang kuat, pensyarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) cawangan Tronoh, Perak itu mula menganjurkan kursus motivasi untuk 15 pelajar pada 1995 dan tiga bulan selepas itu, peserta kursusnya bertambah menjadi 18.

Bagi beliau, sebagai permulaan jumlah itu cukup besar kerana hasrat hatinya adalah untuk membantu anak bangsa supaya berjaya dalam pelajaran dan melihat kepentingan menuntut ilmu sebagai ejen perubahan.

Maklum balas positif diterima serta kesedaran perlunya menyuntik semangat di kalangan pelajar menguatkan tekad di hati melepaskan jawatan serta gaji tetap dan beralih arah kepada bidang motivasi yang serba baru baginya.

“Ketika itu orang tidak kenal siapa Dr Tengku Asmadi. Tetapi saya percaya apabila kita bertanya kepada Allah, keputusan yang diambil tidak akan silap. Sebelum letak jawatan, saya pergi menunaikan umrah di Makkah dan melakukan istikharah.

“Apabila jambatan sudah dibakar, saya tidak boleh berpatah balik. Dengan semangat serta komitmen yang tinggi untuk berjaya, saya terokai bidang motivasi dengan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah,” katanya.

Katanya, apabila kursus yang dianjurkan mula mendapat perhatian, beliau diundang memberi ceramah motivasi di radio Perak dan penampilan kali pertama di televisyen atas undangan Rokiah Kamal dari RTM1 untuk program Selamat Pagi Malaysia.

Sejak itu, kehadiran beliau sebagai perunding motivasi mula disedari dan lebih banyak undangan serta peluang muncul di media elektronik diterima termasuk dari TV3, TV9 dan Astro serta stesen radio seperti Radio 24 Bernama, Ikim.fm dan radio Perak FM.

Dr Tengku Asmadi melahirkan kesyukuran kerana perjuangan memartabatkan Melayu dan Islam melalui ilmu pengetahuan mengikut pelan perancangan yang dilakarkan walaupun mengakui terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan.

Baginya, kesukaran serta kepayahan terpaksa dilalui semata-mata untuk menimba ilmu pengetahuan sebagai cara mengubah keadaan hidup yang susah kepada lebih baik adalah sumber kekuatan beliau.

Dilahirkan dalam keluarga berpecah belah dan dibesarkan oleh ibu tunggal, anak sulung daripada tiga beradik itu menetapkan tekad untuk berjaya dalam pelajaran kerana baginya hanya ilmu yang boleh menyelamatkan keluarganya.

“Ayah meninggalkan kami ketika usia saya tujuh tahun. Hidup kami memang susah dan keluarga saya dianggap paling miskin di Kampung Seberang Takir. Malah, pernah ada saranan supaya saya dihantar ke rumah anak yatim.

“Tetapi emak saya bertegas untuk bekerja dan menyara kami tiga beradik. Kedegilan ibu menyelamatkan saya dan sejak itu saya berazam untuk berjaya dalam pendidikan. Syukur, saya berpeluang melanjutkan pelajaran hingga peringkat PhD,” katanya.

Katanya, kenangan lalu membuatkan beliau kesal setiap kali melihat pelajar yang mensia-siakan peluang terhampar di depan mata sedangkan beliau dulu terpaksa berjuang untuk menimba ilmu pengetahuan.

Justeru, beliau memastikan kursus motivasi yang dilaksanakan MAP Training & Consultancy Sdn Bhd mengaitkan segala perbuatan atau pekerjaan yang dilakukan sebagai ibadat dalam topik khusus kursus berkenaan iaitu Hidup Satu Ibadat.

Dr Tengku Asmadi berkata, melalui topik Hidup Satu Ibadat peserta diberi penjelasan mengenai aspek keikhlasan dengan mengambil contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW serta sahabat yang dikaitkan secara langsung dengan aktiviti kehidupan seorang pelajar.

Beliau berkata, apabila pelajar Islam itu diingatkan kepentingan ikhlas dan diberi penjelasan mengenai fungsi serta setiap tindakan dilakukan akan kembali kepada Allah, ia akan menjadikan hidup mereka lebih berkat dan selamat.

“Sebenarnya apa juga yang kita lakukan tidak akan lari daripada agama. Begitu juga dalam menimba pengetahuan atau menjadi pelajar. Untuk bentuk Muslim berkualiti dan berpengetahuan hendaklah dalam kerangka agama yang menjadi cara hidup.

“Saya percaya cara lebih baik untuk memprogramkan minda dan sikap anak serta pelajar untuk mencintai kejayaan ialah melalui pendekatan agama yang bukan saja menyeru ke arah mencapai kejayaan di dunia tetapi juga akhirat yang menjadi matlamat akhir kehidupan manusia,” katanya.

Beliau yang sering dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada usahawan, ibu bapa, guru dan pekerja sempat memberi panduan bahawa untuk berjaya dalam hidup perlu ada kesabaran kerana kejayaan tidak datang sehari atau setahun.

Bagi mereka yang sudah berjaya katanya, perlu menjaga akhlak selain sentiasa mempertingkatkan ilmu pengetahuan kerana ilmu pengetahuan terus berkembang dan perlu diperkemas sekurang-kurangnya setiap tiga tahun.

Setiap yang ingin berjaya mesti ada semangat perjuangan kerana tanpa semangat, apa yang dilakukan tidak akan lahir daripada hati.

“Mungkin ada mengatakan Dr Asmadi bolehlah cakap sebab namanya sudah dikenali dan kursusnya berjalan setiap minggu. Hakikatnya, untuk berada pada tahap sekarang, saya terpaksa menanti selama 10 tahun.

“Itu yang saya kata semangat juang perlu ada dan perjuangan saya sejak mula adalah untuk memartabatkan Melayu dan Islam supaya dapat menguasai ilmu pengetahuan kerana dengan ilmu kita mampu melakukan perubahan,” katanya.

PROFIL: Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad

  • Tarikh lahir: 23 Jun 1964
  • Tempat lahir: Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu
  • Pendidikan:
    Ijazah Kejuruteraan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia
    Ijazah doktor falsafah (PhD) Universiti Queensland, Australia.
  • Jawatan:
    Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN)
    Naib Yang Dipertua Pertubuhan Silat Hijrah Malaysia
    Pengerusi Negeri Perak PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia)
  • Kongsikan Dengan Semua : These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • BlogMemes
    • BlogMemes Cn
    • Digg
    • MisterWong
    • Technorati
    • YahooMyWeb

    1 comment for now

    Helo Malaysia

    Posted by Dr. Tengku Asmadi on Apr 01 2008 | Aktiviti MAP, MAP Di Sana Sini

    Pada 31 Mac 2008 saya telah dijemput oleh pihak BERNAMA TV untuk menjadi tetamu dalam rancangan Helo Malaysia yang dikendalikan oleh Dr. Luv (Dr. Azahari).  Bersama dengan saya adalah sahabat saya iaitu Dr. Ismail Zain yang dikenali dengan Seminar ADaP yang dijalankan olehnya bersama Utusan Malaysia.  Topik yang dibincangkan juga menarik iaitu ‘Cintakan Ilmu’.  Dr. LUV cukup berminat dengan topik-topik yang berkaitan dengan CINTA sebab itu adalah bidang kepakarannya. Dalam rancangan ini saya juga ada menekankan betapa pelajar-pelajar kita hari ini begitu obses untuk mendapat Straight A dan kisah Sufiah Yusof, iaitu pelajar Genius Matematik, yang akhirnya terlibat dalam lembah pelacuran juga turut saya kupas.   

    Kongsikan Dengan Semua : These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • BlogMemes
    • BlogMemes Cn
    • Digg
    • MisterWong
    • Technorati
    • YahooMyWeb

    no comments for now

    Majlis Dialog dan Ramah Mesra TAMRIN

    Posted by Dr. Tengku Asmadi on Apr 01 2008 | Laman Bersekutu

    Pada 28 Mac 2008, Majlis Dialog dan Ramah Mesra Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) telah berjaya diadakan.  Lebih daripada 40 orang telah menghadirinya dan terdapat juga rakan-rakan media dari Berita Harian, Harian Metro, NSTP, Karangkraf dan Radio24 yang turut serta. Ustaz Zamri Zainal Abidin menjadi Pengerusi Majlis.  Beliau juga merupakan Naib Presiden TAMRIN.  Ustaz Ahmad Shukri memulakan majlis dengan bacaan doa. Meja VIP kelihatan Prof. Dato’ Mohd. Hamdan Adnan, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah dan Ustaz (Dr.) Muhammmad  Uthman el-Muhammady.    Dr. Tengku Asmadi yang juga merupakan Presiden TAMRIN memberikan ucapan.  Beliau menekankan tentang tujuan diwujudkan pertubuhan, misi dan visi.  Prof. Dato’ Mohd. Hamdan Adnan menerangkan tentang pentingnya seseorang perunding mendapat pertauliahan bagi menjaga etika kerja, tahap profesionalisma, kualiti dan kredibiliti mereka. Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah yang merupakan Penasihat Tetap TAMRIN menjelaskan pentingnya bersatu hati disamping kebaikan-kebaikan yang bakal diperolehi apabila semua perunding latihan dan motivasi bersatu.  Beliau turut melontarkan idea tentang pembentukan konsortium dan yayasan amal.        Para tetamu begitu kusyuk mendengar setiap taklimat yang disampaikan.   Makanan yang telah sedia dihidang menunggu para perunding untuk menikmatinya.    Sidang Media untuk memberi peluang kepada para wartawan dan rakan media membuat liputan.     

    Kongsikan Dengan Semua : These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • BlogMemes
    • BlogMemes Cn
    • Digg
    • MisterWong
    • Technorati
    • YahooMyWeb

    no comments for now