Archive for the 'Motivasi Guru' Category

Kepuasan Bekerja

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Sep 18 2007 | Motivasi Guru

Mencari dan memilih satu kerjaya yang kita mampu cemerlang bukannya satu perkara yang mudah.  Sebab itulah ramai orang bertukar tempat kerja dan bertukar kerjaya setelah beberapa tahun menceburinya.  Sekiranya kerjaya yang dipilih itu bersesuaian dengan minat maka potensi untuk cemerlang itu besar.  Begitu juga apabila organisasi kita bekerja itu sebuah organisasi yang sejiwa dengan kita maka potensi untuk kita kekal lama disitu pastilah besar. Kecemerlangan dalam kerjaya bermula dari peringkat awal pemilihan sesuatu kerjaya itu sendiri.  Ketepikan soal gaji dalam memilih kerjaya sebab ia bukan faktor utama anda kekal disesuatu tempat kerja.  Malah tidak ada gunanya gaji yang lumayan sekiranya anda tidak punya masa untuk aktiviti yang lain dan diperah habis-habisan umpama santan kelapa.  Memang gaji itu penting sebagai sumber pendapatan tetapi ia perlu diseimbangkan dengan faktor-faktor lain yang juga menyumbang kepada keseronokan bekerja.

Sebelum anda membuat sesuatu keputusan untuk bertukar kerja atau menerima tawaran kerja maka lebih baik anda ketahui terlebih dahulu apakah yang sebenarnya yang dikatakan kepuasan bekerja.

Berikut adalah perkara yang dicari oleh seorang yang bekerja mengikut turutan keutamaannya:

1.    Komunikasi Terbuka.  Sebagai pekerja kita lebih suka sekiranya apa jua masalah di tempat kerja dapat diselesaikan segera dan wujudnya komunikasi dua hala.  Bukan sahaja majikan boleh menegur kita tetapi mereka juga terbuka dalam menerima pandangan dan teguran kita sebagai pekerja.  Sebab kerapkali kita yang bergelumang dengan tugas-tugas rutin seharian ini lebih arif dan lebih tahu tentang masalah yang wujud dan bagaimana untuk mengatasinya.  Malangnya, apabila majikan tidak menerima pandangan maka kita rasakan seolah-olah kesungguhan kita untuk melihat syarikat maju tidak dipedulikan.  Sebab itulah komunikasi terbuka itu penting dan merupakan perkara paling utama dalam bekerja.

2.    Bidang Tugas.  Ramai mereka yang berhenti kerja kerana merasakan tugas yang diberikan tidak seiring dengan minat serta kecenderungan mereka.  Mereka tidak puas dengan apa yang dihasilkan kerana mereka tahu bakat dan kebolehan tidak disalurkan sepenuhnya disebabkan bidang tugas yang tidak sesuai.  Sebab itulah kita perlu menilai semula adakah bidang tugas yang kita pikul itu adalah betul.  Ramai mereka yang cuba mencari pekerjaan lain gagal mengenalpasti bahawa inilah punca masalahnya dan akhirnya sering bertukar majikan.  Cubalah berbincang dengan majikan tentang bidang tugas anda agar anda mampu berikan yang terbaik kepada mereka.

3.    Kebebasan Menjalankan Kerja.  Tiada siapa pun yang seronok kalau setiap pergerakan mereka dipantau dan diperhatikan oleh orang atasan atau majikan.  Oleh itu kalau mahu bertukar kerja pastikan anda bebas menjalankan kerja.  Yang penting semuanya beres sebelum atau pada masa yang telah ditetapkan.  Pekerja biasanya rimas apabila setiap hari ditanya tentang tugasan yang diberikan seolah-olah majikan tidak mempercayainya mereka.
4.    Jaminan Kerja.  Kenapa ramai orang suka bekerja dengan kerajaan?  Sebabnya ialah jaminan kerja yang diberikan serta adanya duit pencen disamping insentif-insentif yang lain.  Sebab itulah ramai orang memilih jaminan kerja sebagai salah satu perkara yang penting dalam memilih kerjaya.  Sekiranya anda bekerja dengan organisasi yang tidak mampu memberikan jaminan tentang masa depan anda maka usah bimbang.  Apa yang perlu anda lakukan ialah buat kerja dengan cara yang terbaik dan bina reputasi cemerlang.  Dengan reputasi hebat maka organisasi pasti bimbang akan kehilangan anda.  Malah dengan reputasi hebat tidak sukar untuk anda mendapat pekerjaan di tempat lain.

5.    Rangsangan Kerja.      Pekerja suka bekerja dalam suasana yang kondusif, harmoni dan wujud sikap bantu membantu antara satu sama lain.  Ini membantu motivasi diri mereka.  Kerja-kerja rutin apabila sampai satu tahap akan membosankan dan majikan yang baik biasanya akan membuka peluang untuk seseorang pekerja itu untuk melakukan tugas-tugas yang lain pula bagi mengelak kebosanan ini.

6.    Faedah lain dan insentif.  Faedah-faedah lain seperti bayaran perubatan, elaun perumahan, bonus tahunan, bonus perayaan dan sebagainya merupakan antara perkara yang juga diambilkira dalam memilih kerja atau memutuskan untuk bertukar kerja.  Walaupun gaji yang diterima lebih rendah tetapi sekiranya insentif-insentif sebegini wujud maka ia sudah cukup membuatkan seseorang pekerja merasa puas kerana merasakan sumbangan mereka dihargai.

7.    Waktu kerja yang fleksibel.  Ada orang seronok bekerja disesebuah organisasi kerana waktu kerjanya fleksibel.  Maksudnya mereka boleh masuk awal dan pulang awal atau masuk lewat dan pulang lewat.  Mereka boleh tinggalkan seketiga tugasannya kerana ada urusan peribadi atau urusan keluarga yang penting dan menggantikan waktu kerja itu dengan waktu yang lain.  Yang penting bagi mereka setiap tugasan dan kerja yang dipertanggungjawabkan dilaksanakan dengan baik mengikut jadual yang diberikan.

8.    Peluang untuk maju.  Bagi ramai pekerja mereka sentiasa memikirkan tentang masa depan mereka.  Apabila mereka rasakan bahawa peluang untuk maju dalam kerjaya itu tiada maka mereka mula merasa bosan dan berfikir untuk bertukar kerja.  Anda perlu sekurang-kurangnya tiga tahun bekerja disesebuah organisasi untuk menilai sejauh mana majikan menilai sumbangan anda.  Sekiranya selepas tiga tahun segala-galanya sama sahaja maka berbincanglah terus dengan pihak atasan.  Sekiranya mereka tiada perancangan untuk masa depan anda maka tidak salah untuk anda mencari kerja yang lain.

9.    Gaji dan upah.  Ramai yang selama ini menyangkakan bahawa kepuasan bekerja letaknya pada gaji dan upah yang lumayan.  Hakikat sebenar adalah sebaliknya, malah gaji dan upah duduknya pada tangga yang kesembilan. Tidak ada ertinya gaji yang tinggi apabila anda tidak punya masa untuk keluarga, untuk masyarakat dan untuk diri sendiri.  Gaji dan upah lumayan hanyalah hanya memberikan kepuasan jangka pendek sahaja dan bukannya jangka panjang.

10.    Saiz organisasi.  Kebanyakan pekerja tidak mementingkan sangat saiz organisasi tempat mereka bekerja.  Ada yang sukakan organisasi yang mempunyai pekerja yang ramai tetapi ada pula yang lebih senang dengan saiz organisasi yang kecil dengan pekerja kurang dari 20 orang.  Ada yang suka bekerja dengan organisasi yang mempunyai nama yang gah seperti Telekom, TNB, Utusan, Proton dan sebagainya.  Tetapi ada pula yang mahu bermula dengan organisasi yang kecil dan mahu berkembang maju seiring dengan organisasi tersebut.  Apa sekalipun, kepada kebanyakkan orang, saiz organisasi bukanlah penyebab utama mereka memilih sesuatu pekerjaan.

no comments for now

Guru Perlu Ubah Persepsi

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 29 2007 | Motivasi Guru

Apabila guru mempunyai persepsi yang salah terhadap sekolah, kelas, dan pelajar maka sukar untuk mereka bermotivasi dalam mengajar dan mengatasi cabaran sebagai seorang guru. Berikut adalah beberapa contoh persepsi yang wujud:

  • Sekolah ini sekolah kampung, pelajar-pelajar di sini pastinya rendah kualitinya.
  • Sekolah ini untuk anak-anak orang kaya dan ternama, pelajar-pelajar di sini pasti bermasalah.
  • Kelas ini memang kelas tercorot, buat apalah menyediakan bahan-bahan yang banyak dan bersungguh-sungguh,mereka bukannya boleh buat.
  • Pelajar ini memang bermasalah, nasihat pun tidak berguna.
  • Pelajar ini mengadu pada ibu bapanya hinggakan mereka datang buat kacau di sekolah, janganlah pedulikan dia.

Malah pelbagai lagi persepsi yang wujud dalam fikiran seorang guru. Persepsi menentukan fokus dan emosi mereka. Apabila guru fokus kepada masalah mereka menjadi kurang bermotivasi. Sebaliknya apabila guru fokus kepada penyelesaian mereka pasti bermotivasi mencari jalan dan melihat pelbagai alternatif yang boleh digunapakai.

Mari kita hayati kisah di bawah:

Satu hari seorang Profesor telah datang ke sebuah sekolah dan menawarkan khidmatnya untuk meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar di sekolah tersebut. Pengetua sekolah itu telah memberikan persetujuannya. Profesor lalu bertanya apakah kriteria yang digunakan bagi menentukan pelajar-pelajar untuk memasuki sesuatu kelas. Pengetua lalu menyatakan bahawa pelajar-pelajar ini ditentukan kelasnya berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan mereka. Lalu Profesor mencadangkan agar pelajar-pelajar diasingkan mengikut tahap IQnya dan bukan pencapaian peperiksaannya. Satu ujian IQ telah dijalankan untuk semua pelajar-pelajar dalam sekolah itu. Soalan ujian IQ ini telah disediakan oleh Profesor sendiri dan dia jugalah yang menentukan kelas pelajar-pelajar hasil daripada ujian IQ tersebut.

Hasilnya, satu rombakan besar-besaran terpaksa dilakukan. Ada pelajar dari kelas tercorot telah naik ke kelas pertama dan begitu juga sebaliknya. Profesor telah berpesan kepada semua guru-guru bahawa mereka perlu sabar menghadapi pelajar-pelajar yang tinggi IQnya sebab itu memang tingkahlaku mereka. Guru yang mendapat pelajar-pelajar yang tinggi IQnya cukup bermotivasi dan seronok. Maklumlah pelajar-pelajar dalam kelas itu pandai-pandai belaka. Guru ini telah lakukan segala-galanya, mengajar bersungguh-sungguh dan menyediakan pelbagai bahan tambahan. Apabila ada cabaran yang terlalu besar, Profesor tetap ingatkan guru ini, pelajar yang tinggi IQ memang begitu. Guru ini percaya.

Setelah beberapa bulan berlalu satu ujian pencapaian telah dilakukan dan menakjubkan pelajar dalam kelas pertama dan kedua telah menunjukkan pencapaian yang mebanggakan. Malah pelajar yang di kelas tercorot juga meningkat pencapaiannya. Guru-guru gembira dan Pengetua rasa terhutang budi dengan Profesor. Profesor lalu dijemput semula datang ke sekolah dan dimaklumkan tentang hasil pencapaian tersebut.

Ketika Profesor memberikan ucapan di hadapan Pengetua dan guru-guru dia lalu berkata:

“Guru-guru yang saya hormati sekalian. Hari ini saya mahu nyatakan satu rahsia. Sebenarnya pelajar-pelajar di sekolah ini tidak ditentukan melalui ujian IQ yang telah mereka jalani. Ujian IQ itu sekadar gimik semata-mata. Saya hanya memilih secara rambang setiap pelajar dan tentukan kedudukan kelas mereka. Saya ambil pelajar-pelajar yang asalnya dari kelas tercorot dan saya masukkan ke kelas pertama, kedua dan ketiga. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang lain. Saya lakukannya tanpa melihat ujian pencapaian atau ujian IQ mereka. Tetapi apa yang berlaku ialah persepsi anda sebagai guru telah berubah. Anda percaya dengan apa yang telah saya katakan dan anda percaya pelajar-pelajar anda mempunyai IQ yang tinggi. Apabila persepsi anda berubah maka cara anda memberikan layanan dan mengajar mereka juga berubah. Mereka akhirnya memperolehi pencapaian mengikut apa yang telah anda dan mereka jangkakan. Malah kelas yang tercorot juga mendadak pencapaiannya sebab pelajar-pelajar di situ sememangnya saya letakkan yang berkebolehan dan mempunyai estim diri yang tinggi. Mereka tidak tergugat apabila diturunkan kelas malah mereka mahu buktikan yang mereka boleh lakukan. Maka inilah hasil yang kita perolehi sekarang dengan mengubah persepsi dan jangkaan kita sendiri”.

Semua terdiam dan tergamam.

8 comments for now

Pelajar Sebenarnya Mencari Pengiktirafan

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 24 2007 | Motivasi Guru

Apabila saya menjalankan program Motivasi Alihan Pelajar di sekolah, guru-guru akan meluahkan perasaan mereka tentang bagaimana sukarnya menangani pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Tekanan yang dihadapi oleh guru-guru ini amat difahami dan saya bersimpati dengan mereka. Tetapi kerapkali apabila kita bergelumang dengan masalah kita buntu mencari penyelesaiannya. Umpama orang yang sedang kelemasan, dia perlukan orang lain untuk selamatkan dirinya.

Masalahnya ialah kita sering lihat kepada yang buruk dan kita lupa bahawa setiap manusia itu ada kelebihan dan kebaikannya. Tidak ada seorang insan normal yang apabila menadah tangan mendoakan kegagalan dalam hidupnya. Begitu juga pelajar-pelajar ini. Mereka sebenarnya punya kelebihan dan kebaikan yang selama ini tidak dieksploitasikan sepenuhnya oleh guru-guru. Mereka juga mahukan pengiktirafan seperti diberikan tanggungjawab, dipercayai dan dipuji. Apabila guru tidak peka tentang keperluan ini maka mereka mencari pengiktirafan dengan melakukan perkara yang buruk. Mereka rasa seronok apabila kawan puji kata mereka berani, ’sporting’ dan sebagainya. Bagi mereka itu satu bentuk pengiktirafan lebih-lebih lagi apabila mula diterima sebagai orang yang kononnya satu kepala.

Sebab itulah, untuk membendung masalah sosial dan disiplin dikalangan pelajar maka guru-guru jangan sekadar melihat kepada bentuk hukuman yang perlu dilakukan. Sebab apabila kita memikirkan hukuman maka kita fokus kepada kesalahan. Sebaliknya fikirkan apa bentuk pengiktirafan yang mahu diberikan maka akal mula terdorong mencari kelebihan, kekuatan dan keunikan yang ada dalam diri setiap pelajar yang asalnya dilabel sebagai bermasalah itu.

5 comments for now