Archive for the 'Keibubapaan' Category

Luang lebih masa bersama anak

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Mar 22 2008 | Keibubapaan

Artikel ini adalah wawancara wartawan dengan Dr. Tengku Asmadi dan telah diterbitkan dalam Harian Metro, Rabu, 19 Mac 2008.

Oleh Noriah Idris
noriah@hmetro.com.my

ADA yang bertanya mengapa wujudnya istilah ‘jiwa kosong’ dalam diri anak? Apakah ibu bapa terlalu menumpukan perhatian mengejar kebendaan sehingga mengabaikan anak?

Ada pihak menyalahkan bapa yang terlalu tegas atau garang sehingga anak tiada masa menikmati zaman kanak-kanak.

Bagi ibu bapa bekerja, mereka hanya mempunyai lima hingga 10 minit berkomunikasi dengan anak. Bakinya, apabila ibu bapa pulang ke rumah, anak masuk ke bilik masing-masing.

Anak pula terperap di bilik dan tidak berlaku proses komunikasi antara ayah dengan anak. Ini menyebabkan hubungan antara anak dengan ibu bapa semakin renggang.

Apabila kemesraan tiada, senang bagi anak mencari rakan sebaya di luar sehingga mengundang pelbagai masalah lain.

Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya, anak akan mencari jalan keluar mengisi kesepian bertemu rakan atau mencari hiburan lain menghilangkan kebosanan.

“Corak pembelajaran hari ini yang terlalu menekankan kejayaan akademik menyebabkan ibu bapa terpaksa mencatur kehidupan anak dengan rutin harian yang membebankan.

“Di sekolah, mereka belajar hingga lewat petang di samping menyiapkan kerja sekolah yang banyak.

“Anak juga terbabit dengan kegiatan kokurikulum menyebabkan mereka tiada masa menikmati zaman kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, ada ibu mungkin berkata pada anak sulung dan adiknya: “Abang, emak tak nak kamu balik lambat. Kakak, emak tak mahu tengok kamu asyik bergayut di telefon.”

“Itu bukan komunikasi tetapi lebih kepada arahan, syarahan atau sindiran. Ibu bapa harus menilai semula apa itu komunikasi.

“Proses komunikasi gagal kerana ramai yang tidak memahami konsep itu. Apabila anak meluahkan perasaan, ibu bapa sepatutnya menjadi pendengar yang baik,” katanya.

Kebanyakan anak pula memerlukan ibu bapa ketika mereka menghadapi masalah manakala pada saat gembira, mereka lupa ibu bapa. Fenomena berkenaan proses biasa dalam perkembangan diri anak.

Bahkan katanya, ada kalanya ibu bapa diuji dengan kerenah dan kepelbagaian tingkah laku anak yang kadangkala memeningkan kepala.

“Mungkin Allah mahu menyedarkan kita yang sudah lama tidak ‘mendekati-Nya’.

“Kalau sebelum ini solat pun jarang-jarang, kini ibu bapa kena lebih bermuhasabah diri. Sebagai manusia biasa, ujian ini boleh meningkatkan tahap keimanan diri.

“Nabi Noh diuji Allah dengan keingkaran anak dan isterinya yang tidak mahu mengikutinya menaiki bahtera apatah lagi kita manusia biasa,” katanya.

Dr Tengku Asmadi menyarankan anak sentiasa dibekalkan dengan motivasi dalam membentuk sahsiah diri yang sempurna di samping jati diri yang kuat supaya jiwa mereka tidak rapuh.

Ibu bapa jangan terlalu menekankan anak untuk menjadi yang terbaik atau cemerlang jika tahap pencapaian mereka tidak sehebat mana.

“Timbul masalah apabila ibu bapa terlalu teruja untuk melihat anak jadi cemerlang, ia memberi kesan yang tidak baik pada mereka.

“Jika tahu tahap kemampuan anak amat rendah, alihkan minatnya ke arah lain supaya mereka turut diberi peluang membina keyakinan diri.

“Ertinya, jika anak tidak cemerlang dari sudut akademik, dia masih boleh berjaya dalam aspek lain. Sikap mendesak merugikan masa depan mereka kerana bukan semua anak mempunyai kecerdasan yang tinggi,” katanya.

Kajian Universiti California, Amerika Syarikat mendapati ibu bapa yang mempunyai masa lebih banyak dengan anak akan membuatkan anak-anak lebih banyak melakar kecemerlangan.

“Ia berbeza dengan mereka yang tiada masa bersama anak. Anak lebih terjebak dalam gejala sosial, kemerosotan dalam pelajaran di samping terbabit dengan aktiviti kurang sihat,” katanya.

Beliau mencadangkan ibu bapa menjalankan aktiviti bersama seperti bermain boling atau permainan lain yang boleh menggembirakan semua.

“Mereka juga boleh makan malam atau melancong bersama. Ibu bapa juga seharusnya menanam kepercayaan terhadap anak-anak dalam sesetengah perkara. Mungkin itu antara cara mempercepatkan proses kematangan mereka.

“Selain itu, hendaklah mendidik anak mengikut zamannya dan bukan zaman ibu bapa dulu,” katanya.

no comments for now

Makanan Untuk Perkembangan Otak

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Feb 05 2008 | Keibubapaan

Sumber Artikel : Anmum

SEBAGAI ibu bapa anda mungkin tertanya-tanya bagaimanakah pemakanan boleh membantu perkembangan otak anak anda. Oleh itu, perkara paling asas anda perlu tahu ialah selepas anak anda dilahirkan otaknya akan sibuk membina sistem ‘pendawaian’. Sistem ini membabitkan neuron (sel otak), gentian saraf (akson) dan penghubung di antara kedua-duanya (sinaps).

Sebagai contoh, jika anda bercakap dengan anak anda, otaknya akan menghantar isyarat kimia melalui neuron yang menyeberangi sinaps dan menyebabkan lebih banyak hubungan dibuat dengan neuron yang lain. Kelajuan maklumat ini disalurkan bergantung kepada penyalut khas neuron yang disebut mielin.

Proses membina hubungan ini (sinaptogenesis) penting untuk perkembangan otak anak. Ketika ini pemakanan mempunyai fungsi penting.

Apakah zat yang penting untuk otak anak? Ada beberapa zat penting perlu anda tahu. Antaranya;

Gangliosida (GA)

GA adalah sejenis komponen semula jadi yang ada dalam sel membran. Ia boleh menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan neuron. Ini menambahkan pembentukan sinaps di otak. Penambahan sinaps boleh meningkatkan keupayaan pembelajarannya. Ada kajian yang dibuat menunjukkan GA mungkin dapat meningkatkan keupayaan pembelajaran dan daya ingatan.

Asid sialik (SA)

Sejenis bahan yang membantu dalam perkembangan otak dan penghantaran maklumat. Ia komponen penting tisu-tisu otak. Sel membran otak kanak-kanak mengandungi 20 kali lebih banyak SA daripada sel membran yang lain dalam badan.

Penghantaran maklumat yang lebih cepat memberikan keupayaan pembelajaran yang baik. Kajian pada mamalia menunjukkan SA mempunyai kaitan dengan peningkatan daya pembelajaran. Susu ibu adalah sumber yang kaya dengan SA. Malah, sesetengah penyelidik percaya SA mempunyai kaitan dengan penambahan hubungan otak kanak-kanak.

DHA

Tubuh menggunakan DHA sebagai bahan binaan untuk pembentukan sinaps. DHA banyak tertumpu di dalam membran sinaps berbanding bahagian lain dalam badan. Lebih banyak sinaps menandakan peningkatan perkembangan otak dan pembelajaran yang lebih baik.

DHA juga membantu dalam penghantaran maklumat. Apabila maklumat (dalam bentuk isyarat elektrik) sampai pada satu sinaps, ia akan dibawa menyeberangi neuron yang seterusnya oleh bahan kimia yang dipanggil penghantar maklumat (neurotransmitter). Perubahan pada dinding membran membenarkan maklumat ini melalui neuron berikutnya.

DHA memudahkan perkara ini berlaku. Jika otak tidak menerima DHA yang cukup, keupayaan penghantaran maklumat akan menjadi lemah dan hubungan kurang dibina.

Dalam konteks susu ibu, DHA dan lemak lain di dalamnya menyumbang secara langsung pada perkembangan otak. Ini dilakukan dengan bahan-bahan yang betul untuk penghasilan mielin dan menyalutnya supaya laluan ini membawa maklumat lebih cepat. Justeru, ia membolehkan proses pembelajaran berlaku lebih baik.

Asid lemak Perlu (EFA)

Badan memerlukan EFA untuk tumbesaran yang sempurna. Selain itu, EFA merangsang perkembangan otak yang lebih baik kerana ia komponen penting sel membran. EFA tidak boleh dihasilkan oleh badan kerana ia mesti diperoleh daripada makanan yang diambil.

Zat besi (Iron)

Tahukah anda kekurangan zat besi dikaitkan dengan perubahan neurotransmitter dan perkembangan otak yang lewat. Ia juga membolehkan sel darah merah membawa oksigen sekali gus membantu membekalkan oksigen ke otak untuk perkembangannya. ~ sumber Anmum.

4 comments for now

CCTV Bukan Penyelesaian Total

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Jan 14 2008 | Keibubapaan, Laman Bersekutu

Kes penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi dan ini membimbangkan semua ibu bapa. Saya yang mempunyai tujuh anak juga bimbang kalau satu hari peristiwa yang sama menimpa anak sendiri seperti nasib adik Nurin Jazlin, Nur Sharlinie, dan yang lain-lain. Apabila berlaku penculikan lagi, maka semua orang bagaikan dikejutkan dari tidur. Masing-masing mengeluarkan pendapat termasuklah MB Selangor, Dato’ Seri Khir Toyo. Beliau terus menegaskan bahawa CCTV akan dipasang di semua padang permainan kanak-kanak di Negeri Selangor.

cctvPersoalannya sekarang adakah CCTV ini akan menyelesaikan masalah penculikan kanak-kanak ini? Si penculik juga bukannya bodoh, tidak dapat di padang pemainan dia tunggu di tempat lain pula. Malah kalau penculik itu datang dengan memakai topeng dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu maka CCTV tidak membawa apa-apa makna. Kini sudah ramai tauke-tauke CCTV yang sedang mengira-ngira keuntungan apabila tender untuk memasang CCTV ini diperolehi nanti. Sudah ada yang mimpi tidur berbantalkan duit.  RM75 juta yang bakal diperuntukkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bukanlah satu jumlah yang kecil.

Oleh itu, CCTV bukanlah penyelesaiannya malah kos pemasangannya juga bukan murah.  Memang CCTV akan banyak membantu dan satu keperluan, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang.  Kesedaran ibu bapa serta masyarakat sekeliling perlu ditingkatkan.

Kenapa tidak kos untuk memasang CCTV itu disalurkan untuk tingkatkan jalankan satu kempen iaitu Kempen Keselamatan Rumahtangga. Hari ini ibu bapa kita ramai yang cuai, leka, bersifat tidak apa, dalam mendidik dan menjaga anak-anak mereka. Mereka tidak terfikir bahawa sesuatu yang buruk memang boleh berlaku terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka. Wujudkanlah program memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang keselamatan di dalam dan di luar rumah. Ini merangkumi semua aspek seperti:

  • Suis-suis dan ‘powerpoint’ yang dibiarkan terdedah serta dipasang rendah hingga boleh dijangkau oleh anak-anak
  • Seterika elektrik yang dibiarkan terpasang hingga membahayakan anak kecil
  • Cerek air panas yang boleh dicapai oleh anak kecil
  • Baldi yang dipenuhi air dibiarkan terdedah
  • Anak dibiarkan mandi sendirian dalam bilik air
  • Anak-anak dibiarkan main di luar rumah dan ada yang mbermain hingga ke tengah jalan
  • Anak-anak bermain jauh dari pandangan ibu bapa atau penjaganya
  • membiarkan adik kecil dijaga oleh abang atau kakak yang masih remaja tanpa pengawasan orang dewasa
  • Anak-anak dibiarkan bermain dengan benda-benda tajam
  • Anak-anakdiberikan keizinan untuk keluar ke pasar malam tanpa ditemani oleh orang dewasa
  • Ibu bapa asyik membeli belah di pasar atau di pusat membeli belah hingga terlepas pandang anaknya
  • Anak-anak dibiarkan bermain dengan bunga api atau mercun sewenang-wenangnya.
  • Dan bermacam-macam lagi.

Semua perkara di atas boleh mengundang mala petaka. Sama ada berbentuk kemalangan, kehilangan nyawa atau diculik. Keselamatan rumah tangga yang begitu asas ini diambil mudah oleh ibu bapa hari ini. Mereka tidak mendidik dan membimbing anak-anak tentang kemahiran menjaga diri dan keselamatan. Ibu bapa perlu disedarkan bahawa Keselamatan Rumahtangga yang melibatkan anak-anak adalah tanggung jawab mereka bukannya tanggun jawab orang lain atau pun kerajaan.

Apabila kesedaran ibu bapa meningkat maka kes-kes yang tidak diingini yang menimpa anak-anak akan dapat dikurangkan atau dielakkan.

6 comments for now

Tingkatkan IESQ anak-anak anda.

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Nov 09 2007 | Keibubapaan

Kebelakangan ini anak-anak dan remaja semakin berani melakukan perkara-perkara yang tidak terfikir oleh kita. Ada anak ditikam hanya disebabkan seekor ayam belanda. Ada yang mati setelah bergaduh atas perkara yang kecil. Malah kes juvana dikalangan remaja turut meningkat. Kes-kes seperti Lumba haram, penagihan dadah, bohsia, hedonism, lari dari rumah, seks bebas, dan banyak lagi telah. Sebagai ibu bapa, kita tidak mampu untuk berada di sisi anak-anak sepanjang masa. Kita hanya mampu menasihat, menegur dan memantau selebihnya adalah bergantung kepada kemampuan anak-anak membuat pertimbangan mereka sendiri.

Anak-anak perlu bijak membuat keputusan agar tidak terpengaruh dengan ajakan atau pergaulan yang boleh merosakkan masa depan mereka sendiri. Mereka perlu tahu batas-batas kenakalan mereka agar tidak sehingga membawa kepada perkara-perkara yang menyalahi peraturan, norma kehidupan dan undang-undang.

Anak-anak juga perlu ada kemahiran untuk mengesan hadirnya satu bentuk ancaman atau unsur kejahatan ke atas diri mereka. Apabila mereka memiliki kebolehan ini maka mereka boleh mengambil langkah berkesan untuk mengelak daripada terperangkap dalam situasi yang membahayakan diri mereka.

Sekiranya anak-anak mempunyai IESQ yang tinggi maka sebahagian daripada masalah yang kita dengar hari ini mampu dielakkan oleh mereka. Oleh itu adalah penting ibu bapa dan guru-guru berusaha meningkatkan IESQ anak-anak agar mereka mampu menjadi anak-anak yang selamat daripada pelbagai bentuk ancaman yang ada.

IESQ adalah singkatan kepada Intellectual-Emotional-Spiritual-Quotient. Ia berkaitan dengan tiga perkara penting yang perlu diasuh, dikembangkan dan ditajamkan dalam diri anak-anak iaitu kecerdasan intelek, emosi dan rohani.

Menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

Langkah pertama melahirkan anak-anak yang tinggi IESQ ialah mulakan dengan diri kita sendiri. Ibu bapa dan para guru secara langsung atau tidak langsung menjadi contoh kepada anak-anak. Anak-anak lebih cenderung mencontohi apa yang mereka nampak dan bukannya apa yang mereka dengar. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri memiliki akhlak, peribadi dan tingkahlaku yang menjadi contoh kepada sahabat dan musuh. Akhlak, peribadi dan tingkahlaku ini membentuk kredibiliti. Kredibiliti membuatkan mereka yang ada disekeliling kita menghormati dan mempercayai kita. Ibu bapa dan guru-guru yang mempunyai kredibiliti yang tinggi akan mampu membentuk anak-anak yang mempunyai IESQ yang hebat.

Ajar anak-anak konsep tauhid dan ketuhanan seawal mungkin.

Anak-anak bukan sahaja perlu diajar tentang cara mengerjakan solat, membaca al-quran, fardhu ‘ain dan sebagainya sahaja. Sebaliknya mereka perlu difahamkan tentang konsep tauhid seawal mungkin. Mereka perlu tahu dan yakin bahawa semua yang ada ini dicipta oleh Tuhan Yang Satu dan hanya kepadaNya sahajalah kita patu beribadah. Anak-anak yang memahami konsep takwa takut untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang meski pun tiada sesiapa mungkin yang akan mengetahui perbuatannya. Semuanya ini kerana keyakinan dan kepercayaan yang telah ditanam dalam diri mereka bahawa semua yang dilakukan akan dibalas dan hidup sentiasa diperhatikan oleh Tuhan. Semua ini akan menjadi benteng diri yang mampu membantu anak-anak berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup.

Lahirkan generasi yang membudayakan ilmu.

Anak-anak yang pintar dan bijak hanya lahir daripada generasi yang membudayakan ilmu. Ibu bapa perlu jadikan budaya membaca sebagai salah satu amalan harian mereka. Galakkan anak-anak membaca pelbagai bentuk bahan bacaan. Dedahkan mereka dengan cabang pengetahuan yang pelbagai seperti buku-buku yang membina minat dalam bidang sains dan teknologi, buku-buku cerita yang membina akhlak dan peribadi, kisah-kisah perjuangan, buku-buku mempunyai unsur motivasi, dan banyak lagi. Kurangkan bahan-bahan picisan yang berbentuk hiburan, tahyul, lucah dan sebagainya. Dedahkan juga anak-anak dengan pelbagai isu semasa dan bincangkan dengan mereka tentang isu-isu tersebut dan kenapa ia berlaku dan bagaimana ia boleh dielakkan atau diatasi. Bawa anak-anak ke perpustakaan, kedai buku dan pesta buku. Sediakan ruang membaca dan perpustakaan mini di rumah.

Serlahkah kehebatan dan keunikan dalam diri anak.

Setiap anak itu unik dan mempunyai kehebatannya sendiri. Ibu bapa perlu peka dengan perkembangan diri anak-anak dan dedahkan mereka dengan pelbagai aktiviti sosial dan ko-kurikulum. Lebih banyak pendedahan yang dilakukan maka lebih bagus sebab disitu nanti anak-anak menyedari kebolehan dan bakat mereka dalam sesuatu bidang. Semua orang perlukan pengiktirafan dalam hidup ini dan anak kita juga tidak terkecuali. Apabila anak-anak menerima pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam sesuatu aktiviti maka mereka lihat diri mereka berharga dan ini meningkatkan tahap IESQ mereka. Nicol Ann David dan Shalin Zulkifli adalah antara mereka yang telah dikesan bakat sukannya oleh kedua ibu bapa mereka sejak dari usia kecil. Kesannya, lihatlah pencapaian mereka hari ini.

Suburkan kebaikan anak-anak.

Ibu bapa begitu cepat menegur kesilapan anak tetapi lupa menyuburkan kebaikan yang anak-anak mereka lakukan. Apabila anak-anak melakukan sesuatu yang baik, ibu bapa menganggap itulah yang sepatutnya anak-anak mereka lakukan dan tiada apa yang perlu diberikan sebagai balasan. Sebaliknya apabila anak-anak melakukan perkara yang buruk, ibu bapa segera menegur, memarahi, menyindir dan menasihati. Anak-anak perlu diberitahu apa yang salah telah mereka lakukan dan apa pula yang betul. Kalau setiap yang salah kita berikan teguran maka setiap perkara yang betul kita perlu berikan pujian. Puji-pujian menunjukkan yang kita peka dan prihatin terhadap perlakuan dan perkembangan anak-anak dan ini akan menyuburkan kebaikan.

Wujudkan sikap berkasih sayang sesama insan dan makhluk tuhan.

Sikap berkasih sayang ini perlu dipupuk dalam diri anak-anak. Dalam keadaan Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa ini sikap berkasih sayang itu mestilah tanpa mengira bangsa dan agama. Anak-anak perlu diajar bahawa setiap insan itu sama meski pun berbeza warna kulit dan rupa. Jangan sesekali memupuk rasa permusuhan dan kebencian. Integriti kaun perlu dipupuk dari awal. Malah sifat kasih sayang ini juga perlu ada terhadap hidupan yang lain. Ajar dalam diri anak-anak kita bahawa setiap nyawa itu berharga dan setiap hidupan itu juga punya perasaan. Sifat ini menjana IESQ anak-anak dan membuatkan mereka cenderung melakukan kebaikan dalam apa jua keadaan.

Tanam sikap hargai harta benda.

Anak-anak perlu ditanam dengan sikap sayangkan harta benda sama ada harta benda sendiri atau harta benda awam. Nyatakan pada mereka bahawa harta benda itu adalah salah satu nikmat yang Tuhan berikan untuk dimanfaatkan oleh manusia. Tunjukkan kepada anak-anak betapa susahnya hidup ini kalau sampah dibuang merata-rata hingga membawa kepada banjir kilat, telefon awam dirosakkan hingga menyukarkan orang lain membuat panggilan kecemasan, tandas dikotorkan hingga menyulitkan kita menggunakannya, dinding-dinding diconteng hinga menyakitkan pandangan mata dan sebagainya. Apabila ibu bapa dan guru-guru memainkan peranan ini dan tidak mengambil mudah maka generasi yang tinggi IESQnya boleh dilahirkan.

Asuh anak-anak dengan adab.

Orang timur kalau tanpa adab itu biadab namanya. Adab-adab perlu diasuh dalam diri anak-anak seawal mungkin. Anak-anak yang beradap adalah anak-anak yang halus jiwanya dan prihatin terhadap persekitaran dan perasaan orang lain. Adab-adap seperti adab makan, adab bertandang, adab dengan orang tua, adab dalam menuntut ilmu dan sebagainya mesti diajarkan. Lihatlah hari ini apabila ibu bapa bertandang ke rumah kenalan, anak-anak dibiarkan begitu sahaja dan bebas berlari dan melompat. Ada kalanya hingga merosakkan barangan tuan rumah. Ibu bapa ini secara tidak langsung merestui tindak tanduk anak-anak mereka dan jangan hairan apabila anak-anak ini dewasa nanti mereka lakukan pelbagai perkara tanpa mengendahkan teguran dan nasihat kita. Oleh itu marilah kita lahirkan semula generasi yang beradab kerana adab akan membentuk IESQ yang tinggi dalam diri anak-anak.

5 comments for now