Archive for August, 2007

Guru Perlu Ubah Persepsi

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 29 2007 | Motivasi Guru

Apabila guru mempunyai persepsi yang salah terhadap sekolah, kelas, dan pelajar maka sukar untuk mereka bermotivasi dalam mengajar dan mengatasi cabaran sebagai seorang guru. Berikut adalah beberapa contoh persepsi yang wujud:

  • Sekolah ini sekolah kampung, pelajar-pelajar di sini pastinya rendah kualitinya.
  • Sekolah ini untuk anak-anak orang kaya dan ternama, pelajar-pelajar di sini pasti bermasalah.
  • Kelas ini memang kelas tercorot, buat apalah menyediakan bahan-bahan yang banyak dan bersungguh-sungguh,mereka bukannya boleh buat.
  • Pelajar ini memang bermasalah, nasihat pun tidak berguna.
  • Pelajar ini mengadu pada ibu bapanya hinggakan mereka datang buat kacau di sekolah, janganlah pedulikan dia.

Malah pelbagai lagi persepsi yang wujud dalam fikiran seorang guru. Persepsi menentukan fokus dan emosi mereka. Apabila guru fokus kepada masalah mereka menjadi kurang bermotivasi. Sebaliknya apabila guru fokus kepada penyelesaian mereka pasti bermotivasi mencari jalan dan melihat pelbagai alternatif yang boleh digunapakai.

Mari kita hayati kisah di bawah:

Satu hari seorang Profesor telah datang ke sebuah sekolah dan menawarkan khidmatnya untuk meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar di sekolah tersebut. Pengetua sekolah itu telah memberikan persetujuannya. Profesor lalu bertanya apakah kriteria yang digunakan bagi menentukan pelajar-pelajar untuk memasuki sesuatu kelas. Pengetua lalu menyatakan bahawa pelajar-pelajar ini ditentukan kelasnya berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan mereka. Lalu Profesor mencadangkan agar pelajar-pelajar diasingkan mengikut tahap IQnya dan bukan pencapaian peperiksaannya. Satu ujian IQ telah dijalankan untuk semua pelajar-pelajar dalam sekolah itu. Soalan ujian IQ ini telah disediakan oleh Profesor sendiri dan dia jugalah yang menentukan kelas pelajar-pelajar hasil daripada ujian IQ tersebut.

Hasilnya, satu rombakan besar-besaran terpaksa dilakukan. Ada pelajar dari kelas tercorot telah naik ke kelas pertama dan begitu juga sebaliknya. Profesor telah berpesan kepada semua guru-guru bahawa mereka perlu sabar menghadapi pelajar-pelajar yang tinggi IQnya sebab itu memang tingkahlaku mereka. Guru yang mendapat pelajar-pelajar yang tinggi IQnya cukup bermotivasi dan seronok. Maklumlah pelajar-pelajar dalam kelas itu pandai-pandai belaka. Guru ini telah lakukan segala-galanya, mengajar bersungguh-sungguh dan menyediakan pelbagai bahan tambahan. Apabila ada cabaran yang terlalu besar, Profesor tetap ingatkan guru ini, pelajar yang tinggi IQ memang begitu. Guru ini percaya.

Setelah beberapa bulan berlalu satu ujian pencapaian telah dilakukan dan menakjubkan pelajar dalam kelas pertama dan kedua telah menunjukkan pencapaian yang mebanggakan. Malah pelajar yang di kelas tercorot juga meningkat pencapaiannya. Guru-guru gembira dan Pengetua rasa terhutang budi dengan Profesor. Profesor lalu dijemput semula datang ke sekolah dan dimaklumkan tentang hasil pencapaian tersebut.

Ketika Profesor memberikan ucapan di hadapan Pengetua dan guru-guru dia lalu berkata:

“Guru-guru yang saya hormati sekalian. Hari ini saya mahu nyatakan satu rahsia. Sebenarnya pelajar-pelajar di sekolah ini tidak ditentukan melalui ujian IQ yang telah mereka jalani. Ujian IQ itu sekadar gimik semata-mata. Saya hanya memilih secara rambang setiap pelajar dan tentukan kedudukan kelas mereka. Saya ambil pelajar-pelajar yang asalnya dari kelas tercorot dan saya masukkan ke kelas pertama, kedua dan ketiga. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang lain. Saya lakukannya tanpa melihat ujian pencapaian atau ujian IQ mereka. Tetapi apa yang berlaku ialah persepsi anda sebagai guru telah berubah. Anda percaya dengan apa yang telah saya katakan dan anda percaya pelajar-pelajar anda mempunyai IQ yang tinggi. Apabila persepsi anda berubah maka cara anda memberikan layanan dan mengajar mereka juga berubah. Mereka akhirnya memperolehi pencapaian mengikut apa yang telah anda dan mereka jangkakan. Malah kelas yang tercorot juga mendadak pencapaiannya sebab pelajar-pelajar di situ sememangnya saya letakkan yang berkebolehan dan mempunyai estim diri yang tinggi. Mereka tidak tergugat apabila diturunkan kelas malah mereka mahu buktikan yang mereka boleh lakukan. Maka inilah hasil yang kita perolehi sekarang dengan mengubah persepsi dan jangkaan kita sendiri”.

Semua terdiam dan tergamam.

8 comments for now

Bertemu Dengan Prof. Edward De Bono

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 28 2007 | Pengumuman

Petang semalam di Hotel Mandarin Oriental, K. Lumpur, saya telah berpeluang menghadiri seminar tentang Islamic Banking. Salah seorang penceramah jemputannya ialah Edward De Bono seorang pemikir yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Pastinya kehadiran beliau bukan untuk memperkatakan tentang perbankkan tetapi tentang proses-proses pemikiran.

Orang yang berfikiran lateral biasanya akan tonjolkan imej yang sedikit berbeza dan pelik. Mungkin tidak ramai yang menyedarinya semalam tetapi mata saya memang tajam, cuba lihat gambar di bawah ini apa yang lainnya pada diri beliau?

Jawapannya ialah sepasang stokinnya yang merah menyala! Sedangkan hampir semua orang berstokin hitam sebab mahu dipadankan dengan kasut hitam.

Saya sempat bersembang dengan beliau sebelum bermulanya seminar dan dalam masa yang pendek banyak perkara yang saya pelajari. Menariknya ialah apabila beliau menegaskan bahawa 90 peratus kesilapan yang dilakukan oleh otak kita adalah disebabkan oleh persepsi. Beliau juga menekankan bagaimana persepsilah yang membentuk emosi. Idea-idea ringkas ini akan saya kembangkan dalam buku ketiga saya nanti yang berjodol ‘Sikap Penentu Kejayaan’.

1 comment for now

Temuramah PTS TV Dengan Dr. Tengku Asmadi Di MPH

Posted by admin on Aug 27 2007 | MAP Di Sana Sini

Temuramah Penulis Dr. Tengku Asmadi

no comments for now

Buat Sehabis Baik

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 27 2007 | Motivasi Pelajar

Sebenarnya semua pelajar boleh berjaya jika punya kemahuan yang tinggi. Kemahuan yang tinggi pula wujud apabila seseorang itu punya cukup sebab untuk merealisasikan sesuatu matlamat. Malangnya, kebanyakan pelajar tidak pernah memikirkan semua ini. Mereka hanya lakukan dan menyelesaikan rutin harian mereka sebagai seorang pelajar. Malah ramai pula yang tidak memikirkan langsung rutin harian yang perlu mereka lakukan. Ramai yang terikut-ikut dibawa arus kehidupan.

Cuba lihat apakah yang dihanyutkan oleh arus sungai yang mengalir? Semuanya hanyalah sampah, bangkai, tunggul kayu mati, najis dan sebagainya. Ikan-ikan yang hidup semuanya menongkah arus. Jadi kalau kita sekadar mengikut arus begitulah juga pengakhiran hidup kita. Menjadi manusia yang mati sebelum masanya. Sebab itulah, dalam usaha mencapai kecemerlangan para pelajar perlu lakukan sehabis baik. Buat sehabis baik ketika mengulangkaji pelajaran, bermain, berpersatuan, bergaul dan sebagainya. Apabila anda buat sehabis baik maka anda sebenarnya menggilap permata dalam diri menjadi permata yang berharga. Masanya pasti tiba satu hari nanti anda menikmati hasil dari setiap usaha anda itu.

Ayuh, usah banyak berfikir lagi.. lakukan sahaja sehabis baik dan serahkan segala-galanya pada Yang Maha Kuasa.

18 comments for now

Bengkel Rias RAPI

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 26 2007 | Pengumuman

Sebelum ke Alamanda, Putrajaya saya telah dijemput untuk memberikan ceramah bertajuk Cantik Di Luar Cantik Di Dalam oleh pihak penerbitan Majalah RAPI, Karangkraf. Bengkel ini berlangsung di Hotel Plaza, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Peserta benkel ini semuanya kaum wanita sahaja sebab tiada lelaki yang suka belajar tentang aspek menghias dan merapi diri ini. Di Malaysia tidak ramai golongan lelaki yang boleh dikategorikan sebagai meteroseksual.

Kepada pihak Karangkraf kalau berpeluang bolehlah jemput saya lagi. Masa 45 minit yang diperuntukkan terasa begitu pantas berlalu. Tetapi saya sememangnya mesti habiskan cepat sebab selepas itu terus bergegas ke Alamanda di Putrajaya pula.

4 comments for now

Pelancaran Laman Web dan Bicara Penulis di MPH Alamanda

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 26 2007 | Pengumuman

Pada 25 Ogos 2007, Sabtu, 2.30 petang telah berlangsung pelancaran laman web motivasialihanpelajar.com dan Bicara Penulis di ruang legar Alamanda, Putrajaya. Aktiviti ini adalah hasil kerjasama pihak pengurusan PTS dan MPH. Biasalah orang kita ini, walau pun ramai yang ada di kawasan sekitar pentas mereka sekadar tengok jauh-jauh dan sekejap-sekejap sahaja. Sistem suaranya agak kurang baik antra sebab ramai yang tidak begitu menyedari apa yang berlaku.

Apa-apa pun ia adalah satu aktiviti yang berjaya dan patut diteruskan. Terima kasih kepada pihak PTS Millinnea Sdn. Bhd. terutamanya saudara Fauzul, Ikram, Wanzu dan tim. Nanti bila sudah dapat royalti buku tahun depan saya pula yang belanja makan.

Yang seronoknya selepas pelancaran dan makan-makan sempat pula bermain boling. Nampaknya tim PTS kena berlatih lebih keras untuk tewaskan saya dalam acara ini.

no comments for now

Pelajar Sebenarnya Mencari Pengiktirafan

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 24 2007 | Motivasi Guru

Apabila saya menjalankan program Motivasi Alihan Pelajar di sekolah, guru-guru akan meluahkan perasaan mereka tentang bagaimana sukarnya menangani pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Tekanan yang dihadapi oleh guru-guru ini amat difahami dan saya bersimpati dengan mereka. Tetapi kerapkali apabila kita bergelumang dengan masalah kita buntu mencari penyelesaiannya. Umpama orang yang sedang kelemasan, dia perlukan orang lain untuk selamatkan dirinya.

Masalahnya ialah kita sering lihat kepada yang buruk dan kita lupa bahawa setiap manusia itu ada kelebihan dan kebaikannya. Tidak ada seorang insan normal yang apabila menadah tangan mendoakan kegagalan dalam hidupnya. Begitu juga pelajar-pelajar ini. Mereka sebenarnya punya kelebihan dan kebaikan yang selama ini tidak dieksploitasikan sepenuhnya oleh guru-guru. Mereka juga mahukan pengiktirafan seperti diberikan tanggungjawab, dipercayai dan dipuji. Apabila guru tidak peka tentang keperluan ini maka mereka mencari pengiktirafan dengan melakukan perkara yang buruk. Mereka rasa seronok apabila kawan puji kata mereka berani, ’sporting’ dan sebagainya. Bagi mereka itu satu bentuk pengiktirafan lebih-lebih lagi apabila mula diterima sebagai orang yang kononnya satu kepala.

Sebab itulah, untuk membendung masalah sosial dan disiplin dikalangan pelajar maka guru-guru jangan sekadar melihat kepada bentuk hukuman yang perlu dilakukan. Sebab apabila kita memikirkan hukuman maka kita fokus kepada kesalahan. Sebaliknya fikirkan apa bentuk pengiktirafan yang mahu diberikan maka akal mula terdorong mencari kelebihan, kekuatan dan keunikan yang ada dalam diri setiap pelajar yang asalnya dilabel sebagai bermasalah itu.

5 comments for now

Masalah Hidu Gam Dikalangan Pelajar

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 22 2007 | Isu Semasa Pelajar

Masalah remaja hidu gam yang melibatkan pelajar sekolah semakin berleluasa. Ia melibatkan pelajar seawal usia 10 tahun. Pada 11 April 2000 pernah berlaku dimana tiga orang remaja berusia 14, 18 dan 20 tahun ditemui mati akibat gejala ini. Gam lebih mudah diperolehi dan lebih murah untuk dibeli menyebabkan gejala tidak sihat ini semakin menular. Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil sesuatu tindakan sebab sehingga kini tiada sebarang akta yang diperuntukkan bagi membendung dan mengatasi masalah ini. Tanpa akta maka masalah yang wujud bukanlah sesuatu yang salah disisi undang-undang. Sekurang-kurang, kerajaan perlu mewujudkan akta bahawa mereka yang dibawah usia 18 tahun tidak boleh membeli gam dalam kuantiti yang banyak.

Gam mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh menggangu fungsi jantung. Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Kesan lain pada fungsi otak:

  • menjadi nyanyuk
  • hilang ingatan
  • psikotik atau gila,
  • hilang upaya deria dan
  • kelumpuhan pada bahagian tertentu.

Apabila remaja terlibat dengan gejala hidu gam, ia tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing sebab ia bukannya dadah. Ini menyukarkan kita untuk mengesan mereka yang terlibat dengan masalah ini kecuali ketika mereka sedang melakukannya. Malah ada diantara remaja apabila sudah ketagihan sanggup menggunakan bahan alternatif seperti pencair cat, petrol dan tahi lembu kering. Tahi lembu kering itu dibakar asapnya disedut.

Apakah cara untuk kita mengatasinya?

  1. Ibu bapa perlu prihatin dan awasi tingkah laku anak-anak mereka. Semak bilik, laci dan beg sekolah anak. Awasi pergerakan dan rakan-rakan mereka.
  2. Pendedahan tentang kesan dan akibat daripada gejala ini mesti diberikan bermula dari pelajar sekolah rendah lagi. Lebih efektif jika ditunjukkan video serta gambar-gambar agar timbul rasa gerun dan insaf.
  3. Perlu ada akta bagi menghalang gejala ini agar boleh diadakan penguatkuasaan. Malah mungkin gam dijadikan sebagai barang kawalan yang tidak sewenang-wenangnya boleh dibeli, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak.
  4. Perbanyakkan program motivasi di peringkat sekolah. Program motivasi ini pula perlu dilakukan secara berterusan dan lantik mereka yang pakar untuk menjalankan program-program ini.

7 comments for now