Archive for January, 2008

CCTV Bukan Penyelesaian Total

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Jan 14 2008 | Keibubapaan, Laman Bersekutu

Kes penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi dan ini membimbangkan semua ibu bapa. Saya yang mempunyai tujuh anak juga bimbang kalau satu hari peristiwa yang sama menimpa anak sendiri seperti nasib adik Nurin Jazlin, Nur Sharlinie, dan yang lain-lain. Apabila berlaku penculikan lagi, maka semua orang bagaikan dikejutkan dari tidur. Masing-masing mengeluarkan pendapat termasuklah MB Selangor, Dato’ Seri Khir Toyo. Beliau terus menegaskan bahawa CCTV akan dipasang di semua padang permainan kanak-kanak di Negeri Selangor.

cctvPersoalannya sekarang adakah CCTV ini akan menyelesaikan masalah penculikan kanak-kanak ini? Si penculik juga bukannya bodoh, tidak dapat di padang pemainan dia tunggu di tempat lain pula. Malah kalau penculik itu datang dengan memakai topeng dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu maka CCTV tidak membawa apa-apa makna. Kini sudah ramai tauke-tauke CCTV yang sedang mengira-ngira keuntungan apabila tender untuk memasang CCTV ini diperolehi nanti. Sudah ada yang mimpi tidur berbantalkan duit.  RM75 juta yang bakal diperuntukkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bukanlah satu jumlah yang kecil.

Oleh itu, CCTV bukanlah penyelesaiannya malah kos pemasangannya juga bukan murah.  Memang CCTV akan banyak membantu dan satu keperluan, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang.  Kesedaran ibu bapa serta masyarakat sekeliling perlu ditingkatkan.

Kenapa tidak kos untuk memasang CCTV itu disalurkan untuk tingkatkan jalankan satu kempen iaitu Kempen Keselamatan Rumahtangga. Hari ini ibu bapa kita ramai yang cuai, leka, bersifat tidak apa, dalam mendidik dan menjaga anak-anak mereka. Mereka tidak terfikir bahawa sesuatu yang buruk memang boleh berlaku terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka. Wujudkanlah program memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang keselamatan di dalam dan di luar rumah. Ini merangkumi semua aspek seperti:

  • Suis-suis dan ‘powerpoint’ yang dibiarkan terdedah serta dipasang rendah hingga boleh dijangkau oleh anak-anak
  • Seterika elektrik yang dibiarkan terpasang hingga membahayakan anak kecil
  • Cerek air panas yang boleh dicapai oleh anak kecil
  • Baldi yang dipenuhi air dibiarkan terdedah
  • Anak dibiarkan mandi sendirian dalam bilik air
  • Anak-anak dibiarkan main di luar rumah dan ada yang mbermain hingga ke tengah jalan
  • Anak-anak bermain jauh dari pandangan ibu bapa atau penjaganya
  • membiarkan adik kecil dijaga oleh abang atau kakak yang masih remaja tanpa pengawasan orang dewasa
  • Anak-anak dibiarkan bermain dengan benda-benda tajam
  • Anak-anakdiberikan keizinan untuk keluar ke pasar malam tanpa ditemani oleh orang dewasa
  • Ibu bapa asyik membeli belah di pasar atau di pusat membeli belah hingga terlepas pandang anaknya
  • Anak-anak dibiarkan bermain dengan bunga api atau mercun sewenang-wenangnya.
  • Dan bermacam-macam lagi.

Semua perkara di atas boleh mengundang mala petaka. Sama ada berbentuk kemalangan, kehilangan nyawa atau diculik. Keselamatan rumah tangga yang begitu asas ini diambil mudah oleh ibu bapa hari ini. Mereka tidak mendidik dan membimbing anak-anak tentang kemahiran menjaga diri dan keselamatan. Ibu bapa perlu disedarkan bahawa Keselamatan Rumahtangga yang melibatkan anak-anak adalah tanggung jawab mereka bukannya tanggun jawab orang lain atau pun kerajaan.

Apabila kesedaran ibu bapa meningkat maka kes-kes yang tidak diingini yang menimpa anak-anak akan dapat dikurangkan atau dielakkan.

6 comments for now

Gagal Dalam Peperiksaan?

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Jan 03 2008 | Laman Bersekutu, Motivasi Pelajar

Keputusan peperiksaan PMR 2007 telahpun dikeluarkan. Ada pelajar yang berjaya mendapat semua A. Syabas dan tahniah untuk mereka. Tetapi ramai pula pelajar yang gagal dan mereka ini perlu dibantu dan dimotivasikan agar tidak terlalu kecewa dengan keputusan peperiksaan ini.

Terdapat empat kategori pelajar gagal:

1. Pelajar yang memang rajin belajar dan berusaha tetapi gagal. Biasanya mereka gagal untuk dapat ‘Straight A’. Itulah istilah gagal bagi mereka.

2. Pelajar yang memang tidak berusaha dan malas belajar lalu gagal. Malah ada yang telah menjangkakan kegagalan mereka dari awal lagi. Ini berlaku kerana masalah sikap, pergaulan, terlalu mahu berseronok, masalah keluarga dsb. Mereka perlu dikaunseling dan perlu ikuti program motivasi atau pemulihan.

3. Pelajar yang gagal sebab tidak berkemampuan untuk cemerlang dalam akademik. Ini disebabkan kebolehan dan potensinya adalah dalam bidang dan jurusan yang lain. Ada pelajar yang telah berusaha tetapi memang kemampuannya setakat itu sahaja. Janganlah kita marah dan paksa anak untuk lakukan sesuatu di luar batas kebolehan mereka. Sedari potensi anak yang lain seperti dalam bidang sukan, kemahiran tangan, kebolehan komputer dan ICT, seni, keusahawanan, dan sebagainya. Dengan cara itu anak-anak tetap akan berjaya dalam hidup mereka satu hari nanti.

4. Pelajar yang sengaja menggagalkan dirinya atas alasan-alasan peribadi seperti tidak mahu duduk di asrama, tidak mahu bersekolah di sekolah aliran agama, sebagai tanda protes atas masalah yang wujud antara ibu bapa kononnya padan dengan muka mereka. Kumpulan pelajar sebegini memang perlu dibantu melalui sesi kaunseling. Ibu bapa juga perlu sedar kalau anak benar-benar tidak mahu ke asrama maka tidak perlu paksa. Nur Amalina Che Bakri pun mampu dapat 17A1 melalui sekolah harian biasa sahaja.

Untuk bangkit dari kegagalan ini, pelajar perlu jujur dan ikhlas menganalisa diri mereka sebab-sebab dan punca kegagalan itu.

Kalau memang sudah berusaha tetapi gagal maka:

- Mungkin terlalu ‘overconfident’ hingga menyebabkan berlaku kecuaian ketika menjawab soalan. Oleh itu pelajar perlu belajar dari pengalaman ini dan perlu semak jawapan banyak kali. Pelajar perlu ingat kesilapan memang boleh berlaku dalam peperiksaan.

- Gagal sebab tidak tahu teknik dan strategi peperiksaan peperiksaan. Pelajar perlu ikuti program Motivasi dan Kemahiran Belajar.

- Pelajar perlu Belajar Cara Jatuh. Ada pelajar yang ambil tindakan di luar akal fikiran yang waras hingga dulu ada kes pelajar yang bunuh diri disebabkan gagal dalam peperiksaan. Gagal dalam peperiksaan bukannya gagal dalam kehidupan. Sebab itu pelajar perlu belajar cara jatuh dengan cara:

o Terima hakikat tidak semua orang mampu dapat semua A

o Terima hakikat bakat dan kebolehan kita ada ditempat lain

o Ingat manusia hanya mampu berusaha keputusan tetap di tangan Tuhan

o Jadikan kegagalan itu sebagai ‘Stepping Stone’ bukannya ‘Stopping Stone’.

o Tanam azam untuk buat lebih baik dalam peperiksaan yang akan datang. Ada pelajar 5A dalam UPSR tetapi tidak mendapat semua A dalam PMR. Ada pula yang tidak semua A masa UPSR tetapi 8A dan 9A dalam PMR. Oleh itu kegagalan hari ini tidak ada kaitan dengan keputusan kita dimasa akan datang. The past is never equal to the future.

o Mula belajar dari awal tahun dan jangan tangguh menyelesaikan setiap perkara yang tidak difahami.

16 comments for now